Cabaran Puasa :: Bhg III (kari oh kari!)

Cabaran Puasa :: Bhg III (kari oh kari!)

Sepanjang hidup aku, banyak kali juga aku terkantoi bila berhadapan dengan godaan ketika berpuasa. Dua daripadanya adalah disebabkan oleh kari mamak. Aku lemah dengan masakan mamak.

Pertama ketika di Tingkatan IV rasanya. Ada sebuah kedai mamak di hadapan stesen bas Jalan Tambun, Ipoh yang masyhur dengan Nasi Ganjanya. Aku tak tahu sama ada dia benar-benar masukkan ganja ke dalam Ayam Masak Merahnya, tetapi ramai budak sekolah aku yang pergi makan di situ apabila duit poket lebih sedikit.

Aku sengaja berjalan di hadapan kedai itu untuk ambil bau sahaja dan disapa oleh pekerja kedai yang bertanya samada aku mahu makan. Aku pun marah dia balik kerana aku berpuasa dan terus beredar dari situ. Setelah berjalan beberapa pintu kedai, aku tukar fikiran dan berpatah balik kerana tak tahan dengan bau masakan yang menawan kalbu.

Aku bertanya samada mereka mempunyai tempat yang selamat untuk aku "berbuka." Pekerja itu menunjukkan aku satu pintu belakang di sebuah lorong bersebelahan dengan kedai itu. Rupa-rupanya di situ ialah tempat mereka menyediakan makanan sebelum dibawa ke kedai tadi. Maka makanlah aku di sebelah seorang mamak yang tidak berbaju dan sedang memotong bawang dan kentang.

Mungkin suasananya kurang romantik tetapi ketagih punya pasal...

Kali kedua adalah ketika aku sudah pun bekerja di Pulau Pinang. Di sana aku kerap makan di Restoran Tajuddin yang berada di jalan yang sama dengan Dawood Restaurant. Tajuddin ialah sebuah kedai makan yang sempit di bahagian belakang sebuah kedai runcit, tetapi masakannya adalah yang terbaik di dunia.

Suatu hari selepas solat Jumaat, tergerak hati aku untuk memeriksa keadaan perniagaan Tajuddin di bulan puasa. Di dalam, aku melihat ada seorang Haji tua sedang makan dengan asyiknya. Fikir aku ketika itu: Sedangkan seorang Haji pun kantoi, apatah lagi aku yang jahil ini!

Sekali lagi benteng pertahanan aku runtuh; aku duduk di sebelah Tuan Haji itu dan minta sepinggan nasi bersama kari kambing. Alahai, kari, kari...



posted by: mak ngah (reply)
post date: 10.27.04 (7:24 pm)

:) :) :)



posted by: ianz (reply)
post date: 10.28.04 (12:29 am)

heheheehhehe....tak tahan cubaan akibat bau makanan...hehehehe



posted by: ziemash (reply)
post date: 10.28.04 (8:24 pm)

ahaaaa.. cepat tergoda dgn kari ye? hehe

Your Name:


Your Comment: