Cerita si Cheong, Tabib Cina
Baru-baru ini aku berbual dengan jiran baru aku di bangunan tempat aku bekerja. Dia seorang sinseh yang sebelum ini beroperasi di rumahnya di Butterworth. Sekarang dia berkongsi pejabat dengan Harun dan Haji Ismail. Mereka berdua sebenarnya adalah pelanggan si Cheong ini dan pernah mendapat manfaat dari rawatan tradisional Cina yang diberikan oleh Cheong.
Tabib Cheong ini adalah seorang yang lurus dan dia bercakap tanpa selindung dan berlapik. Ramai pelanggannya yang tersipu-sipu malu apabila dia menceritakan apa yang mereka lakukan sebelum ini hingga menerima padah penyakit yang dialami sekarang. Dia boleh menceritakan sejarah tidak sihat seseorang dengan memegang nadi seseorang di tangan atau di kaki.
Kali ini dia mempunyai cerita yang berlainan; ia berkenaan kemalangan di mana dua motosikal bertembung di tempat tinggalnya di Butterworth minggu lepas. Kemalangan itu melibatkan seorang anak gadis Melayu dalam perjalanan pulang ke Alor Star dan seorang lelaki tua tempatan berketurunan Cina yang melintas di hadapan gadis tadi. Mereka berdua mendapat kecederaan ringan tetapi lelaki tua itu lebih teruk lukanya kerana dia yang menerima impak pertembungan itu dalam keadaan lalai.
Mereka bertengkar dan orang tua itu meminta duit gantirugi kerosakan motosikalnya dan kecederaannya. Semakin lama semakin ramai orang berkerumun di keliling mereka dan ini memberanikan lagi orang tua itu kerana semuanya boleh dikatakan orang Cina. Akhirnya si Cheong, yang selama ini memerhati sahaja dari dalam kedai kopi, masuk campur. Dia bertanya gadis Melayu itu berkenaan kecederaannya, apa urusannya datang ke situ dan ke mana tujuan perjalanannya. Gadis itu menjawab yang dia luka sedikit sahaja, dia ke Butterworth untuk belajar di sebuah kolej di situ dan dia dalam perjalanan pulang ke Alor Star. Si Cheong bertanya lagi jika dia memerlukan rawatan di klinik. Jawapnya tidak perlu.
Dengan tenang dia menyuruh gadis itu pulang sahaja dan biarkan dia sahaja menguruskan orang tua itu. Gadis Melayu itu teragak-agak dan memberitahu yang dia tidak dapat membayar tuntutan orang tua yang dilanggarnya. Jawab si Cheong, "Wa tau. Lu baca lagi, mana ada wang banyak. Sekarang lu balik dulu, jalan baik-baik. Ini orang tua, wa punya hal!"
Tergamam dengan kebaikan yang tidak disangka ini, gadis itu pun mengucapkan terima kasih dan pulang ke rumahnya. Berpaling kepada orang tua tadi, Cheong bersyarah bagaimana seorang tua sepertinya tidak sepatutnya menunggang motosikal di waktu malam begini. Lebih teruk lagi, dia tidak malu langsung meminta wang dari seorang budak yang masih belajar. Dia menawarkan untuk membawanya ke klinik, membayar kos perubatannya dan membayar kos membaiki kerosakan motosikalnya. Orang tua itu menolak tawarannya dan pergi dari situ.
Aku terharu dengan cerita kebaikan yang tidak mengenal batasan bangsa dan agama ini. Masih ada harapan bagi Malaysia, negara tercinta ini.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN.
posted by: ziemash (reply)
post date: 08.26.04 (5:48 am)
tapi dah makin berkurangan kan? maksud zie.. kebaikan sesama kita yg saling tak mengenali.