Surah Yaa-Sin dan Judi
Sebuah tabloid melaporkan baru-baru ini berkenaan keputusan nombor ekor yang difotostat bersama ayat-ayat dari Surah Yaa-Sin. Ia menunjukkan gambar dua orang AJK surau memegang kertas berkenaan yang dirampas dari seorang penjual mah-piao atau keputusan permainan judi itu. Sudah tentu laporannya mengatakan ia sebagai satu percubaan "menghina Islam" seperti artikel dari Majlis Peguam Malaysia yang kecoh baru-baru ini.
Aku bukannya tidak sensitif tetapi aku kesal terhadap sikap masyarakat yang gemar berselindung di sebalik perisai kebal "menghina Islam" setiap kali perkara begini berlaku seolah-olah kita sudah tidak ada cara lain untuk menghadapi asakan begini. Peluru "menghina Islam" sepatutnya menjadi senjata akhir apabila pukulan lain tidak mendatangkan kesan.
Dalam hal nombor ekor ini contohnya: Orang Islam sendiri yang silap kerana khianat kepada agamanya sendiri dan kepada harta intelek orang lain. Aku pernah mengusahakan kedai khidmat fotostat dan aku tahu senarionya. Orang kita lebih suka menyalin risalah-risalah agama daripada membeli naskhah yang original sedangkan penjimatan kosnya tidak seberapa. Berapakah harga risalah Surah Yaa-Sin yang siap dicetak? Mengapa perlu difotostat sedangkan ada badan-badan dan individu-individu yang sanggup menderma secara percuma?
Orang kita gemar melanggani kedai fotostat bukan-Islam kerana mereka mengenakan harga RM0.01 lebih murah setiap mukasurat. Mereka boleh melakukannya kerana mereka membeli kertas berdasarkan kontena atau membekalkan sendiri mesin fotostat yang direcondition itu. Apa salahnya membayar lebih kepada sesama Islam yang kita tahu akan menghormati helaian doa yang difotostat itu? Ketika membuat salinan, akan terdapat salinan yang rosak dan akan dikitar semula untuk salinan dokumen kecil seperti kad pengenalan atau, dalam kes ini, keputusan nombor ekor!
Pelanggan Islam yang melanggani kedai fotostat bukan-Islam tidak pernah bertanya jika ada salinan yang rosak untuk dimusnahkan sendiri dengan hormat. Untuk mengharapkan mereka menghormati ayat-ayat suci kita samalah seperti mereka mengharap kita menyanjungi gambar Buddha atau Siva mereka. Bagaimana mereka boleh tahu nilai ayat-ayat itu kepada kita jika kita sendiri tidak peduli? Bahkan jika mereka tahu nilai kesucian ayat-ayat yang mereka fotostat itu, sudah tentu mereka telah lama menjadi saudara kita!
Lain kali apabila kita fotostat sesuatu doa atau risalah agama, beringatlah. Anda sendiri mungkin menyumbang kepada "penghinaan Islam" secara tidak sedar.