Puteri Gunung Ledang :: Bahagian Terakhir
Aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak menceritakan kejadian itu. Bahkan Nal yang kami anggap serba tahu pun tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan. Tidak seorang daripada kami pernah menyaksikan keanehan sebegitu rupa dan aku rasa orang lain pun tidak. Bintang-bintang itu entah berapa tahun-cahaya dari bumi -- kalau malam itu malam berbintang sudah tentu kami dapat melihatnya sedikit demi sedikit dari awal lagi. Tetapi malam itu seolah-olah seseorang memetik suis lampu Raya dan seperti orang menembak bunga api ke langit! Cuma bezanya, ia tidak padam seperti bunga api tetapi terus menyala sehingga seluruh langit yang boleh dilihat dari tempat kami berbaring itu dipenuhi bintang-bintang.
Kami membuat berbagai andaian daripada yang kebudak-budakan hingga kepada yang saintifik tetapi akhirnya bersetuju yang 'mereka di atas' sedang merayakan sesuatu. Dick pula sangat bersyukur yang keinginannya mendapat 'perhatian' Tuhan dan Dia telah memberikan lebih dari apa yang dihajatinya. Ia merupakan satu 'pengalaman spiritual' sangat meninggalkan kesan. Malam itu kami tidur di atas batu hampar itu tanpa sedikit pun rasa takut kerana masing-masing merasakan seperti insan terpilih dari jutaan manusia.
Keesokan harinya, kami bersarapan untuk menghabiskan bekalan makanan yang dibawa. Giliran aku untuk membuat kopi pagi itu. Aku tidak memasak air dan membancuhnya di dalam bekas, tetapi menjerangkan semua bahan-bahannya di dalam bekas. Aku terjumpa entah siapa punya coklat Toblerone yang sudah tinggal separuh dan aku masukkan ke dalam bekas kopi yang sedang mendidih dan hasilnya -- seperiuk kecil kopi 'o' berperisa coklat yang terbaik di dunia!
Habis packing, kami pun beransur turun dari tempat itu. Kami bertolak awal supaya sempat untuk menyaksikan matahari terbenam di Port Dickson. Tidak jauh dari tempat kami berkhemah, kami berjumpa dengan sekumpulan budak-budak Cina yang juga bermalam di situ. Kami bertanya samada mereka melihat apa-apa keanehan malam tadi dan mereka menjawab tidak. Semua mereka tidur nyenyak keletihan. Ketika kami hampir sampai ke kaki bukit, Zafar bergurau menyuruh Dick meminta apa-apa lagi yang dia mahu sementara kami masih di situ. Dick pula mengatakan, "Kalau dapat makan pulut kuning berlauk daging, tentu best!" Semua orang ketawa dengar permintaan itu.
Kami sempat ke PD dan menyaksikan matahari turun di kaki langit. Setelah menikmati pemandangan itu sungguh indah itu kami masuk ke kereta untuk mencari masjid kerana masih terdapat sedikit lagi sisa-sisa waktu Maghrib. Kami jumpa sebuah masjid di tepi jalan dan masuk untuk solat di luar dewan sembahyang utama kerana tidak mahu mengganggu perasaan orang tempatan dengan pakaian kami yang comot. Ada dua tiga orang yang sedang berbual sambil menunggu waktu Isya' agaknya. Selesai solat, aku melihat-lihat di papan kenyataan masjid itu sementara menunggu kawan-kawan lain dan aku terpandang kalendar yang tergantung di situ. Aku memanggil kawan-kawan aku dan menunjukkan kepada mereka tarikh hari itu. Aku sudah tidak ingat tarikh Masehinya tetapi tarikh Hijrahnya menunjukkan hari esok adalah 1hb Muharram!
Masya-Allah! Esok tahun baru Hijriah rupanya! Kami memandang sesama sendiri mengenangkan apa yang kami saksikan semalam dan apa yang kami andaikan berkenaan kejadian itu. Memang benar 'mereka' merayakan sesuatu. Kami fikir cukuplah segala keajaiban yang berlaku sejak semalam dan kami memang tidak bersedia untuk menerima apa yang akan berlaku berikutnya!
Sebaik sahaja kami hendak keluar masjid, tiba-tiba datang seorang kakak membawa satu bekas Tupperware. Katanya dia memang berniat nak buat kenduri tetapi terlewat apabila kami katakan yang orang-orang masjid sudah pulang belaka. Kakak itu menyuruh kami sahaja yang makan kerana makanan yang disediakan pun sedikit sahaja dan dia akan datang mengambil semula bekasnya esok hari. Apa lagi, kami pun mengucapkan terima kasih dan duduk semula memandangkan kami belum makan apa-apa sejak pagi tadi. Mulut Dick terlopong bila penutup bekas Tupperware itu dibuka -- pulut kuning dan lauk daging!
posted by: tiff (reply)
post date: 08.15.04 (12:58 am)
uiks patutler arinie tangan nie asyik nak ketuk keyboard jer.... rupernyer ader citer mystic arh kat cini.... pulut kuning and lauk daging? ermmm memang best! errr curious gak nie kris... ko tak make a wish ker maser tue atau..... ko takut nak bagi tau kat kitarang eh?
posted by: krismann (reply)
post date: 08.15.04 (11:07 am)
Tak teringat langsung nak buat wish, Tiff. I was too busy being amazed at what was happening at the time.
posted by: eva (reply)
post date: 08.24.04 (5:00 am)
:) dah terkejut mana nak ingat kan kriss.. .. tapi memang bess dpt melihat keajaiban Tuhan...
posted by: eva (reply)
post date: 08.24.04 (5:00 am)
:) dah terkejut mana nak ingat kan kriss.. .. tapi memang bess dpt melihat keajaiban Tuhan...