Puteri Gunung Ledang, Part I
Filem Tiara Jacquelina terbaru, Puteri Gunung Ledang, sangat menarik perhatian aku. Bukan kerana kecantikan Tiara (walaupun dia memang menawan) atau kerana perhatian tajamnya terhadap detail untuk menghidupkan epik sejarah bercampur mitos itu. Tetapi kerana ia mengingatkan aku kepada pengalaman aku sendiri mendaki dan bermalam di Gunung Ledang itu.
Semasa aku dan kawan-kawan lepak di rumah Haji di PJ, Dick (orang yang sama dalam posting aku sebelum ini) menyatakan keinginannya untuk merasai sesuatu pengalaman yang mistik. Dick baru pulang dari menyaksikan kelip-kelip di muara Sungai Selangor yang padanya adalah satu pengalaman kerohanian yang memukau dan terangsang untuk mengalami sesuatu yang lebih mendalam. Jadi kami duduk berbincang untuk mencari sesuatu aktiviti yang tidak terlalu drastik seperti meneroka rumah berhantu atau berjaga di tanah perkuburan untuk dilakukan minggu hadapan!
Isteri Haji (bukan Haji sebenar, hanya gelaran kawan-kawan), seorang model sambilan, memang pandai membancuh kopi dan perbincangan kami melalut dari melawat Pulau Besar kepada menziarah semua masjid-masjid lama di Melaka dan berbagai cadangan yang bukan-bukan lagi. Akhirnya perbincangan kami tertumpu kepada mendaki Gunung Ledang kerana cerita-cerita dari Nal yang pernah ke sana. Kami menganggap Nal paling 'berilmu' di antara kami kerana dia mempelajari hampir semua jenis seni mempertahankan diri, dia seorang pakar batu cincin dan banyak ilmu agama. Jadi semua bersetuju untuk ke Gunung Ledang -- ia mempunyai banyak ciri riadah -- senaman, adventure, dan misteri (jika PGL benar-benar wujud!).
Pada hari yang dijanjikan, kami semua -- Dick, Din, Nal, Zafar dan aku -- semua berkumpul tidur di rumah Haji supaya dapat keluar awal serentak keesokkan paginya. Haji tidak dapat pergi pada saat-saat akhir seperti kebiasaannya. Mungkin dia risau meninggalkan isterinya (yang juga adik ipar Nal) yang jelita itu keseorangan. Setelah tidur sekejap, kami berlima pun memulakan perjalanan dengan kereta Dick untuk sampai di kaki bukit Gunung Ledang itu sebelum Subuh. Kami sampai di Kampung tepat pada waktu subuh dan terus singgah di masjid kampung itu untuk sama-sama berjemaah dengan orang-orang kampung. Di situ kami mengalami misteri pertama kami.
Kami hairan kerana masjid itu kelihatan usang, tetapi air kolahnya bersih. Nal mengambil wudhu dan melakukan solat tahiyyat masjid di ruang depan masjid. Kami menunggu sampai hari hampir cerah tetapi tiada siapa yang datang sedangkan azan di radio sudah lama kedengaran dari rumah di sebelah masjid itu. Akhirnya datang seorang hamba Allah terus menuju ke kolah. Siaknya sudah sampai, kata kami serentak. Selepas mengambil wudhu, orang tadi terus sembahyang sendirian! Mungkin dia solat sunat dulu sebelum berazan, fikir kami, tetapi dia terus keluar selepas sembahyang.
Oleh kerana hari semakin siang, kami pun bergegas sembahyang Subuh di belakang Nal. Selepas solat kami duduk-duduk berbincang tentang masjid dan kampung itu. Kata salah seorang dari kami, mungkin orang tadi satu-satunya Muslim di kampung ini! Nal berjaya membuka pintu ke balai utama masjid itu dan terkejut melihat setiap inci ruangnya terdapat tahi cicak! Kebimbangan kami menjadi kenyataan -- ini ialah masjid yang telah ditinggalkan! Aku terpandang ke papan kenyataan masjid. Ada pengumuman kematian anak kariah yang ditulis dengan kapur dan tarikhnya ialah pada lima tahun yang lalu!
Kami telah banyak menghabiskan masa di situ. Jadi kami pun masuk ke kereta semula untuk ke melaporkan diri di Balai Polis dan mencari tempat bersarapan di pekan berdekatan dalam negeri Johor di seberang sempadan. Kami makan nasi lemak di sebuah warung dan menceritakan kepada peniaga itu berkenaan masjid di kampung berkenaan. Dia memberitahu kami yang masjid itu ditinggalkan kerana sudah ada masjid baru tidak jauh dari situ. Kami termanggu-manggu kehairanan -- takkan sembahyang waktu pun tak boleh buat di situ?
Tamat Part I -- kasi saspens sikit.
posted by: makngah (reply)
post date: 08.11.04 (12:06 am)
seronok mendengar pengalaman yg mistik tuu......cuba sambung lagilah.....
posted by: Embunpagi (reply)
post date: 08.15.04 (4:32 pm)
memang laaa seronok mak ngah, cari pengalaman baru...hehe