Menari di hadapan Tuhan
Aku jarang sembang fasal agama sebab aku tahu di tahap mana aku berada dan aku takut kalau-kalau pendapat atau pemahaman aku bertentangan dengan pegangan arus perdana. Tetapi aku suka mendegar dan membaca buah fikiran dan hujah-hujah orang lain demi perbandingan ke arah merumuskan pendirian sendiri. Oleh kerana kerap menjenguk blog orang lain yang rata-ratanya mengandungi perisa kerohanian yang tebal, maka aku terpengaruh juga dengan kandungan keagamaan di dalam blog-blog mereka dan aku ingin berkongsi cerita tentang perkenalan aku dengan solat.
Semasa aku bekerja di KL dahulu, seorang kawan yang benama Mussadiq "Dick" Meah menjadi buntu setelah diasak dengan soalan-soalan yang tak pernah kami fikirkan sebelum ini daripada seorang perempuan Kanada keturunan Cina yang sedang berjinak-jinak dengan Islam. Lahir dan dibesarkan di Kanada, perempuan ini memepunyai 100% fikiran dan sikap Barat walaupun rupa parasnya 100% Timur. Kami yang bukan ustaz ini terpaksa mengembeling tenaga untuk menjawap segala persoalannya dengan sebaik mungkin tetapi satu soalannya mengepong kami di penjuru: "Kenapa kita perlu sembahyang seperti yang kamu sembahyang? Kenapa kita tidak boleh bertafakur di tepi katil dan bercakap denganNya terus?"
Memanglah dia merujuk kepada keringkasan amalan Kristian yang dipelajari di Barat dan tidak dapat membezakan antara berdoa memohon sesuatu dengan menunaikan kewajipan bersolat kerana to pray dalam Bahasa Inggeris bermaksud kedua-duanya. Kami juga ketika itu tidak nampak berbezaan itu dan tidak mempunyai jawapan yang boleh memuaskan hati dan inteleknya. Jadi kami memutuskan untuk membawanya menemui guru agama aku yang kebetulan datang melawat ke KL.
Setelah memberikannya sehelai selendang untuk menutup kepala dan bahagian atas tubuhnya yang hanya berblaus leher luas tanpa lengan, dia dibawa mengadap Tok Guru untuk bertanyakan sendiri kemusykilannya. Rupanya pertemuan itu menjadi sesi pembelajaran bagi bukan sahaja untuknya tetapi juga bagi kami, para-para eksekutif sekular ini!
Jawapan guru aku mudah sahaja: Pergerakan dalam solat itu adalah umpama tarian kebaktian, a dance of devotion, dan himpunan protokol pemujaan yang dilakukan oleh manusia ketika berdepan dengan Penciptanya sebagai tanda ketaatan demi mendapatkan keredhaanNya. Manusia boleh berinteraksi denganNya dalam berbagai cara, tetapi inilah cara yang dikehendaki dan disukaiNya. Nokhtah.
Perempuan Kanada ini mengangguk kepalanya tanda setuju dan kami menggelengkan kepala sambil melihat sesama sendiri mengenangkan betapa senangnya jawapan kepada soalan payah itu! Tuan Guru menghuraikan lagi: Jika di dunia pun kita perlu menurut protokol tertentu untuk berjumpa dengan pembesar-pembesar atau raja-raja. Di zaman dahulu, apabila maharaja-maharaja turun bersidang, mereka akan dihiburkan dahulu dengan tarian dan nyanyian sebelum sebarang masalah negara dihadapkan kepada untuk pertimbangan dan keputusan mereka, seperti samada negara jiran perlu diserang atau tidak dan sebagainya.
Apatah lagi apabila kita menghadapkan diri yang kerdil kepada Maharaja segala maharaja, sudah tentu ada peraturan yang perlu diikuti. Pergerakan dari mengangkat takbir hingga ke duduk tahiyyat itu adalah tariannya. Ucapan takbir, segala bacaan doa dan ayat-ayat suci di dalam solat itu adalah nyanyiannya. Pakaian dan waktu yang sesuai adalah protokolnya. Segala aduan hanya layak dipersembahkan selepas segala langkah ini dibuat dengan ikhlas dan rendah diri.
Penjelasan itu mengubah sikap dan pandangan aku terhadap apa yang sebut sebagai solat. Dari hari itu aku tidak lagi bersembahyang dengan t-shirt usang, tanpa penutup kepala dan bermacam lagi keselekehan yang lahir dari pegangan kepada ungkapan "Tuhan tidak melihat apa yang kamu pakai...!" Memang pakaian kita tidak ada nilai di sisiNya tetapi ia tidak memberikan kebenaran kepada kita untuk bersikap seperti orang tidak bertamaddun. Adakah kamu akan berjumpa seorang menteri dengan hanya berselipar jepun? Atau menghadiri temuduga dengan berseluar pendek?
Aku juga tidak lagi bergegas keluar masjid sebaik memberi salam selepas sembahyang Jumaat. Betapa ruginya mereka yang berbuat demikian hanya kerana mahu mengelak dari kesesakan jalanraya atau berebut tempat duduk di warung. Aku mahu mengukuhkan cable aku dan mengadukan hal aku semasa orang lain telah meninggalkan majlis hebat ini. Aku mahu menyampaikan resume dan profil aku kepada para malaikat yang turut hadir.
posted by: senja (reply)
post date: 08.08.04 (11:53 pm)
amalan yang paling disukai Allah.. adalah amal yang berkekalan walaupun sedikit..
posted by: tiff (reply)
post date: 08.09.04 (3:53 am)
agreed with you totally. selalunyer bila dah terhantuk barula kita sedar dan akan mengadu padaNya sedangkan kita tahu Dia tak pernah lupa pada kita dan tak akan biarkan kita sendirian walau dalam aper keadaan pong....