Ibu Tiri di Alam Siber
Aku selalu merasakan yang "ibubapa tiri" adalah hanya gelaran yang diberikan kepada lelaki dan perempuan yang berkahwin ke dalam keluarga yang telah pun mempunyai anak-anak, semata-mata kerana kita perlu memberi mereka sesuatu panggilan. Bagaimana seseorang itu boleh menjadi "ibubapa" sejati jika gelaran yang diberikan berbunyi seperti "ibubapa tiru." Begitulah yang aku rasakan suatu masa dahulu tentang menjadi ibu tiri (atau ibu tiru) kepada empat orang anak-anak suamiku.
Aku dan suamiku telah bersama selama enam tahun, dan aku menyaksikan bersamanya anak-anak kecilnya membesar menjadi anak-anak belasan tahun di hadapan mata kami. Walaupun mereka tinggal bersama ibu mereka, mereka kerap bersama kami. Sepanjang masa itu, kami semua belajar bertolak ansur, menjadi lebih selesa antara satu sama lain dan menyesuaikan diri dengan keadaan kekeluargaan yang baru ini. Kami seronok pergi bercuti bersama, makan bersama sekeluarga, sama-sama membuat kerja rumah mereka, bermain bola keranjang, menonton VCD.
Walau bagaimanapun, aku terus merasa seperti orang luar, yang menceroboh rantau asing. Terdapat sempadan yang tidak boleh dilangkah, lingkaran dalaman keluarga yang memisahkan aku dari mereka. Oleh kerana aku tidak mempunyai anak sendiri, pengalaman keibuan aku hanyalah terhad kepada empat orang anak-anak suami aku itu, dan aku selalu mengeluh bahawa aku tidak akan dapat merasakan ikatan istimewa yang wujud di antara ibu dan anak itu.
Apabila anak-anak itu berpindah ke bandar lain sejauh lima jam perjalanan dari sini, aku faham sangat akan kekecewaan suamiku. Supaya kami dapat saling berhubung, suamiku telah memasang applikasi e-mel dan chat. Teknologi ini, bersama talian telefon biasa, membolehkan kami menghubungi mereka setiap hari degan menghantar nota dan mesej serta chatting bersama jika kami semua berada dalam talian.
Anehnya, alat-alat komunikasi canggih ini juga menjadi alat yang memisahkan, menjadikan kami semakin jauh dan bertambah memerlukan perhubungan sesama manusia yang sebenar. Jika ada mesej komputer yang masuk untuk "Abah" aku merasa seperti dilupakan dan tersisih. Jika mesej itu untuk kami berdua, ia amat mengembirakan hati aku dan aku merasa seperti aku juga adalah sebahagian dari keluarga ini. Tetapi masih terdapat jarak yang memisahkan yang tidak dapat dirapatkan melalui talian telefon.
Suatu malam, ketika suamiku tertidur di hadapan TV dan aku sedang membaca beberapa e-mel aku, satu mesej segera terpapar di skrin komputer. Ia datang dari Margo, anak tiri perempuanku yang tertua, yang juga masih belum tidur dan berada di hadapan komputernya lima jam perjalanan dari sini. Seperti biasa kami menghantar beberapa mesej pergi dan balik untuk bertukar-tukar berita terkini masing-masing. Jika kami berchatting begini, dia tidak akan tahu sama ada aku atau Abahnya yang berada di hujung talian di sini -- kecuali jika dia bertanya. Malam itu dia tidak bertanya dan aku juga tidak menyatakan aku siapa. Setelah mendapat laporan tentang prestasi sukan di sekolahnya, persembahan pentas yang akan diadakan dan tugasan sejarah yang sedang dilakukan, aku katakan kepadanya yang hari sudah jauh malam dan aku perlu masuk tidur. Mesej balasan darinya berbunyi,"OK, esok kita sembang lagi. Love you!"
Sambil aku membaca mesej ini, rasa sayu melanda diriku dan aku sedar yang Margo menyangka yang dia berchatting dengan Abahnya sepanjang masa ini. Aku dan Margo tidak pernah berbalas kata-kata kasih sayang. Aku rasa bersalah kerana tidak menjelaskannya dari awal, pada masa yang sama aku tidak mahu membuat dia malu, jadi aku membalas, "Love you too! Semoga tidur nyenyak!"
Aku memikirkan semula tentang lingkaran kekeluargaan mereka, ruang persendirian serba lengkap di mana aku adalah seperti seorang penceroboh. Sekali lagi aku merasa kepedihan yang lahir dari kekosongan dan keasingan itu. Kemudian ketika jari-jari aku menyentuh kekunci, ketika aku hendak shut-down komputer itu, mesej terakhir dari Margo keluar terpapar. Ia berbunyi, "Ucapkan selamat malam pada Abah untuk saya sama ya!"
Dengan kelopak mataku bergenang air, pandangan aku menjadi kabur, aku menutup suis komputer itu.
------------------------- ------------------------- --
dan kelopak mataku juga bergenang ketika aku menghabiskan alihbahasa artikel ini ---- kris.
Selamat Hari Ibu
Pepatah Cina ada mengatakan: Di dalam dunia in hanya ada seorang anak yang comel dan setiap ibu memilikinya.
Apakah ciri-ciri seorang ibu yang baik? Adakah ia kesabaran? Kasih sayang? Pinggul yang lebar? Keupayaan menyusukan bayi? Kebolehan memasak? Pandai menjahit? Kesemuanya? Atau ia terletak pada hati? Adakah ia kesayuan yang dirasakan ketika anak anda berjalan sendirian ke sekolah buat pertama kali? Sentakan yang membuat anda terjaga di tengah malam dan terus berkejar ke bilik anak hanya untuk meletakkan tangan anda di belakang anak yang sedang nyenyak tidur? Atau dorongan untuk berlari dan memeluk anak anda setiap kali terdengar berita-berita buruk seperti kemalangan, kebakaran, pembunuhan dan sebagainya? Tiada siapa yang tahu kerana semua anak mengatakan ibu merekalah yang paling layak dipanggil "Ibu Mithali."
Kepada semua ibu-ibu, tua dan muda, tunggal atau berkahwin: SELAMAT HARI IBU.
PEMBETULAN
Masalah IE aku yang menutup sendiri pun telah diatasi. Ia tiada kena mengena dengan [i]coding[/i] aku atau pun dengan laman web [url=http://www.bellz.net]Bellz[/url] seperti yang aku syak pada mulanya. Anda boleh mendengar lagu yang aku minta khas dari webmaster tersebut.
p/s: [i]Jika anda mempunyai masalah yang sama (selalunya terjadi selepas install Real Player) cuba buka semula Media Player dan klik Tools Options... File Types kemudian pilih semula Windows Media files (.wav). Enjoy![/i]