Cabaran Puasa :: Satu Susulan
Cabaran Puasa :: Bhg III (kari oh kari!)
Pertama ketika di Tingkatan IV rasanya. Ada sebuah kedai mamak di hadapan stesen bas Jalan Tambun, Ipoh yang masyhur dengan Nasi Ganjanya. Aku tak tahu sama ada dia benar-benar masukkan ganja ke dalam Ayam Masak Merahnya, tetapi ramai budak sekolah aku yang pergi makan di situ apabila duit poket lebih sedikit.
Aku sengaja berjalan di hadapan kedai itu untuk ambil bau sahaja dan disapa oleh pekerja kedai yang bertanya samada aku mahu makan. Aku pun marah dia balik kerana aku berpuasa dan terus beredar dari situ. Setelah berjalan beberapa pintu kedai, aku tukar fikiran dan berpatah balik kerana tak tahan dengan bau masakan yang menawan kalbu.
Aku bertanya samada mereka mempunyai tempat yang selamat untuk aku "berbuka." Pekerja itu menunjukkan aku satu pintu belakang di sebuah lorong bersebelahan dengan kedai itu. Rupa-rupanya di situ ialah tempat mereka menyediakan makanan sebelum dibawa ke kedai tadi. Maka makanlah aku di sebelah seorang mamak yang tidak berbaju dan sedang memotong bawang dan kentang.
Mungkin suasananya kurang romantik tetapi ketagih punya pasal...
Kali kedua adalah ketika aku sudah pun bekerja di Pulau Pinang. Di sana aku kerap makan di Restoran Tajuddin yang berada di jalan yang sama dengan Dawood Restaurant. Tajuddin ialah sebuah kedai makan yang sempit di bahagian belakang sebuah kedai runcit, tetapi masakannya adalah yang terbaik di dunia.
Suatu hari selepas solat Jumaat, tergerak hati aku untuk memeriksa keadaan perniagaan Tajuddin di bulan puasa. Di dalam, aku melihat ada seorang Haji tua sedang makan dengan asyiknya. Fikir aku ketika itu: Sedangkan seorang Haji pun kantoi, apatah lagi aku yang jahil ini!
Sekali lagi benteng pertahanan aku runtuh; aku duduk di sebelah Tuan Haji itu dan minta sepinggan nasi bersama kari kambing. Alahai, kari, kari...
Cabaran Puasa :: Bhg II
Apa lagi; aku rasa 99% daripada pelajar Tingkatan III, V dan VI Atas di sekolah aku tahun itu menyambut pengumuman itu dengan gembira. Bagi kebanyakan kami remaja muda dan tua, ia bukanlah satu keputusan yang susah sangat seperti memilih antara syurga dan neraka kerana lulus LCE dan melayakkan diri ke Tingkatan IV adalah syurga kami ketika itu. Neraka ialah balik kampung buat bendang, tangkap ketam nipah, jadi awak bot bilis atau kerja di gok arang.
Ada juga anak-anak orang baik-baik yang berbelah-bagi tetapi ketahanan mereka habis cair dikempen oleh 'perayu-perayu undi' dengan kata-kata seperti, "Aah, apa takut? HM tanggung!" Tetapi aku rasa faktor motivasi utama ialah kerana makanan disediakan oleh pihak sekolah dan kami tidak perlu 'mencuri makan' seperti tikus.
Jadi hampir semua kami tak berpuasa hampir sebulan penuh tahun itu! Sarapan pagi, makan tengahari dan minuman petang semua disediakan di dewan makan. Kami makan malam bersama pelajar lain yang berbuka puasa dan selepas kelas [i]prep[/i], kami bersama mereka menikmati [i]supper[/i]. Yang teruknya, ada beberapa orang dari kami (termasuk aku sendiri) yang turut bangun bersahur bersama mereka! Enam kali makan sehari dalam bulan puasa!
WBP, kami mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang tahun itu dan kami semua layak ke Tingkatan IV. Aku tak tahu pula jika semua orang dah selesai bayar balik hutang puasa hampir sebulan itu. Kalau belum, tentu banyak treler beras fidyahnya...
Rangka Gergasi Kaum Aad?
Rupa-rupanya ia adalah gambar olahan dari sebuah peraduan menyunting gambar yang diadakan di Internet. Aku dapat menyurih asal gambar tersebut ke [url=http://www.worth1000.com/view...]website ini[/url] :
Phew! Aku pun hampir percaya dan telah beristighfar panjang apabila pertama kali menatapnya. Alangkah baiknya jika gambar itu benar-benar asli. Cuba klik pautan itu dan beritahu apa pendapat anda di sini.
CABARAN PUASA, Bhg. I
Aku mulai merasai cubaan puasa ketika aku baru berumur 8 tahun. Aku telah pergi ke mesjid untuk melihat makcik-makcik menyediakan moreh. Tiba-tiba seorang makcik memanggil aku dan memberikan sepinggan bihun yang baru digoreng. Aku lupa (betul!) yang aku berpuasa dan terus sebat bihun tadi. Memang sedap sekali bihunnya!
Rupa-rupanya kejadian itu telah diketahui oleh nenek aku di rumah (melalui laporan ringkas berkarat sepupu aku yang juga bedal sepinggan) dan aku dijatuhkan hukuman tidak dibenarkan berbuka puasa bersama orang lain. Jadi petang itu, aku duduk sahaja di tepi dinding memerhatikan sahaja semua orang menjamu selera dengan lahapnya.
Sepupu aku dimaafkan dan dibenarkan berbuka bersama-sama orang lain kerana dua perkara:
(i) Dia membuat laporan secara sukarela dan menjadi saksi utama pendakwaan; dan
(ii) Dia mengaku menyambung semula puasanya selepas tersedar dari lupa (dan selepas habis bihun itu sepinggan).
Jadi aku kalah kes itu tanpa dipanggil membela diri. Datuk aku cuba berhujah bagi pihak aku; tetapi dalam urusan dapur nenek aku mempunyai kuasa autonomi.
Maka makanlah aku seorang diri apabila semua orang telah kenyang dan bangun. Lauk pauk pun semuanya telah dikucar-kacir dan tinggal saki-bakinya sahaja. Sekarang aku mengelak dari melawat dapur mesjid di petang hari, terutama ketika menu morehnya ialah bihun goreng.
[b]Bhg II :: CABARAN PUASA KETIKA DI SEKOLAH MENENGAH [/b]
Ghairah Murah
Seorang perempuan muda terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel ketika melarikan diri dari serbuan pegawai pencegah maksiat di Perak beberapa hari yang lepas. Dia cedera parah kerana jatuh ke atas sebuah kereta di bawah; kalau tidak tentu dia menemui ajalnya di situ. Andainya dia mati akibat cubaan untuk melarikan diri itu, siapakah yang akan bertanggung jawab?
Mungkin ada yang berkata, "Padan mukanya, siapa suruh buat maksiat!" Tetapi adakah sikap demikian dapat menyelesaikan masalah keruntuhan moral yang berleluasa di kalangan masyarakat? Adakah kerakusan kuasa pegawai-pegawai ini perlu sedangkan paling tidak mereka hanya boleh menuduh khalwat atau percubaan melakukan persetubuhan haram di Mahkamah Shariah?
Kadang-kadang aku terfikir adakah pegawai yang diberi kuasa ini melakukan tugas mereka kerana Allah semata-mata atau kerana mereka mendapat keghairahan sumbang apabila dapat mengintai dan menyerbu pasangan-pasangan yang berada di dalam keadaan memalukan itu? Cuba duduk di kedai kopi kesukaan mereka dan anda akan dapat mendengar cerita-cerita tahap lucah dari mereka yang terlibat. Hanya segelintir melakukannya kerana kebencian kepada maksiat, sebahagian besar dari mereka adalah sukarelawan yang mencari keseronokan murahan.
Aku pun faham tentang tegahan dan hukuman agama di dalam hal ini dan aku juga menyokong tindakan pencegahan demi kemurnian agama. Mereka yang didapati bersalah perlu dihukum sebagai pengajaran kepada semua. Lakukanlah secara bijak dan berhemah agar mudah-mudahan mereka yang pernah terlanjur akan kembali ke dalam lipatan umat sebagai orang yang baik-baik. Semua orang melakukan kesalahan dalam perjalanan menuju keimanan sejati.
[b]Selamat Menyambut dan Menghayati Ramadan al-Mubarak.[/b]
Aku Rasa Bertuah
Tadi di perhentian bas ada dua orang budak sekolah. Aku tegur sepatah, mereka jawab sepatah. Aku tanya itu dan ini (yang berkaitan dengan urusan menunggu bas yang tak sampai-sampai), mereka hanya beri jawapan ringkas. Sudah sekolah menengah pun masih tak tahu mengarang ayat yang sempurna. Tidak berhasil usaha aku nampaknya. Mungkin muka sardin aku tidak merangsang kemesraan.
Akhirnya mereka membuat keputusan untuk naik teksi sahaja. Mungkin mereka dah lapar nasi; mungkin mereka bosan dengan orang tua bermuka sardin yang banyak pula songehnya. Sebuah teksi berhenti dan ada seorang penumpang lelaki tua di tempat duduk hadapan. Dia memerhati aku tanpa berkelip matanya. Mukanya lebih sardin dari muka aku; jadi aku pun senyum dan menganggukkan kepala kepadanya. Dia terus memandang aku tanpa sebarang reaksi! Memang sah tidak berhasil langsung usaha aku untuk menjadi mesra-manusia hari ini.
Akhirnya bas datang dan aku turun di stesen untuk menukar bas lain. Aku terpandang seorang perempuan tua yang aku panggil Long di kampung. Dia tidak berapa cam muka sardin aku jadi aku tegur dia dahulu. Setelah berbual kosong seketika, bas yang kami tunggu pun sampai. Aku perasan yang dia membawa bungkusan yang kelihatan berat, jadi aku suruh dia naik dahulu dan aku tolong angkatkan bungkusannya.
Aku letakkan bungkusan yang berat itu di tepi kakinya dan dia pun mengucapkan terima kasih pada aku, "Terima kasihlah, bertuah. Nasib baiklah ada engkau, bertuah woi!"
Wow! Aku dipanggil [i]bertuah[/i] hari ini. Aku diisytiharkan di khalayak ramai sebagai [b]bertuah[/b] hari ini. Dan pengisytiharan itu melenyapkan dua kekecewaan aku dalam usaha menjadi mesra-manusia sebelumnya.
Aduh Sakitnya...
Adoi easT! Adoi Embun! Adoi Eva! Adoi Ian! Adoi Jacque! Adoi Lilysuria! Adoi Lolly! Adoi Makngah! Adoi Mamaboomboom! Adoi Senja! Adoi SriDiah! Adoi Tiara! Adoi Tiffy! Adoi Ukhuwah! Adoi Ziemash! Adey! Adey! Adey!
Tolong aku. Aku tak tahan, sakitnya tidak terperi!
Sakit! Sakit! Sakit!
Sakit apa? Lihat di komen di bawah :?:
Koboi Hilang Seluar
Hujung minggu yang tak produktif langsung; melengkar macam ular sahaja. Nak menulis pun tak ada idea. Jadi sementara aku mencari sesuatu yang bernas untuk ditulis, aku nak tunjuk gambar koboi ni: