Keindahan yang Terancam
Ini ialah gambar sungai utama di kampung aku. Nampak macam sungai biasa sahaja 'kan? Amati betul-betul -- airnya keruh. Kanak-kanak tidak lagi dapat bermain di sini, ibu-ibu pun tidak lagi turun membasuh pakaian di sini kerana dasarnya yang dulu pasir kini penuh lumpur.

Kami mengalami banjir lumpur pada bulan Jun yang lepas dan beritanya disiarkan di TV dan di akhbar-akhbar. Puncanya ialah kerakusan manusia untuk membolot apa sahaja warisan yang boleh mendatangkan kekayaan. Gambar di bawah menunjukkan bagaimana manusia dan mesin berusaha merobohkan bukit di kampung ini, berlatarkan pemandangan sawah di desa yang indah.

Untuk melihat lagi gambar-gambar kerosakan yang telah dilakukan, sila klik di sini untuk ke laman web amatur aku. Apakah yang tinggal selepas tamat permit mereka selama 20 tahun?
Abu Rokok dan Masak Lemak
Kita sentiasa mengaku bahawa bangsa kita halus budi pekertinya dan agama anutan kita amat murni ajarannya. Gabungan keduanya sepatutnya menjadikan kita satu masyarakat yang terbaik dalam segala segi. Begitulah sepatutnya.
Realitinya, kita masih perlu belajar dan membudayakan banyak perkara: common sense, contohnya.
Semalam sedang aku makan tengahari di sebuah restoran, aku nampak ada seorang pelanggan mengambil lauk sambil mengepit rokok di jari. Abu rokok sepanjang lebih kurang tiga sentimeter itu nampaknya hanya menunggu masa untuk gugur. Hanya menunggu satu hembusan angin atau satu pergerakan secara tiba-tiba, ia pasti bercerai dan melayang jatuh.
Bagaimana kalau abu rokok itu terjatuh ke dalam takungan masak lemak cili api itu? Adakah dia akan mencedoknya keluar atau membiarkannya di situ sebagai perisa tambahan? Apa juga cara penyelesaiannya, bagi aku makanan itu sudah tercemar.
Apa salahnya rokok itu dimatikan atau dihabiskan dahulu sebelum mengambil makanan. Aku tahulah rokok dah naik harga sekarang tetapi takkanlah nak menghisap rokok sambil makan nasi.
Itulah masalahnya dengan restoran layan diri ini; berbagai jenis manusia bebas keluar masuk ke bahagian lauk pauk itu. Dulu aku terpandang seorang tua melayan dirinya di sebuah restoran lain. Dia tidak berbaju tetapi hanya memakai singlet. Dia juga menyimpan bulu ketiak yang berserabut seperti hirisan tembakau Jawa. Ughhh!
Bila aku komplen pada tuan kedai berkenaan adegan yang memualkan itu, jawapannya lebih lagi memualkan: "Apa boleh buat, pelanggan sentiasa betul." Kita yang merasa jijik ini bukan pelanggankah? Sejak itu aku tidak lagi makan tengahari di situ.
Menjadi Warga Emas
Hujung minggu yang lepas aku ke Bukit Merah Lake Resort di Taiping untuk menghadiri perhimpunan bekas pelajar STAR lepasan tahun 1972. Perjumpaan semula tahun ini istimewa dan dipanggil Ulangtahun ke-50, bukan kerana kumpulan kami telah wujud demikian lama tetapi kerana semua ahli berumur setengah abad.
Meja pendaftaran menjadi riuh-rendah apabila kawan-kawan lama bertemu semula dan ramai yang sukar dikenali kerana rupa paras telah banyak berubah di mamah usia. Meneka identiti sesama sendiri menjadi acara utama yang melucukan; hanya gerak-geri, suara dan ciri-ciri unik dapat dijadikan panduan pengenalan kerana wajah, berat badan dan saiz setiap orang telah banyak berubah.
Oleh kerana aku sendiri sudah lebih sepuluh tahun tidak menghadiri perjumpaan tahunan ini, maka identiti aku menjadi objek tekaan mereka dan begitu juga aku sendiri menghadapi kesukaran mengenali separuh dari mereka yang hadir. Itulah kerja aku dan Iskandar (yang sudah bercucu) pada petang Sabtu lepas. Yang lucunya, nama si Iskandar itu sendiri pun aku tidak ingat sehinggalah pada majlis makan malam hari itu. Kalau benda ini terjadi 10 tahun lepas, mungkin mereka telah mencampakkan aku ke dalam Tasik Merah itu.
Antara bekas rakan sekelas yang hadir hari itu ialah Dato Rosli Shariff (CIMA), Nasir Ahmad (PUNB), Nasir Majid (penasihat kerohanian Datuk Malik, perenang English Channel), Prof. Abdul Fatah (USM) dan ramai lagi yang tidak dapat aku senaraikan di sini.
AJK penganjur yang diketuai oleh Fathil Sharif (yang tak besar-besar sejak dulu) telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang. Mereka mengadakan berbagai acara dan permainan untuk ahli dan keluarga, majlis tahlil untuk kawan-kawan yang telah pergi, kuliah subuh untuk kami yang menghampiri senja dan penubuhan jaringan sokongan sesama sendiri. Terima kasih Fathil, SM Noordin, Mat Bahadon dan yang lain-lain.
Nasyid "Last Breath"
Nasyid ini aku dengar di salah satu blog kegemaran aku. Aku dah letakkan pautannya di sebelah kanan blog aku ini; kalau nak dengar sila klik di pautan berkenaan. Ia dibuat dalam bentuk fail Flash, jadi harap bersabar beberapa minit selepas diklik untuk mendengarnya.
Kisah Cinta si Gusti Puteri
Akhirnya aku dapat menonton Puteri Gunung Ledang yang mendapat liputan meluas itu setelah beberapa kali tertunda. Sudah bertahun aku tak masuk panggung dan aku sendiri dah tak ingat tajuk gambar terakhir yang pernah aku tonton.
Rasanya tidak ada filem yang benar-benar lekat diingatanku kecuali Haathi Mere Saathi (di awal 70-an atau lewat 60-an) dan Cubit-Cubitan (pada lewat 70-an). Filem pertama kerana seluruh penduduk Sungai Petani telah menontonnya ketika itu termasuk emak aku sendiri; jadi aku pun tidak mahu ketinggalan. Filem kedua pula adalah kerana wajah Elvy Sukaesih, salah seorang pelakon utamanya itu, ada mirip-mirip wajah seseorang yang sangat rapat kepadaku ketika itu.
Dan yang ketiga mungkin Puteri Gunung Ledang inilah -- ia menghiburkan dan meninggalkan kesan di hati (dan menjadikan aku sebagai seorang pengkritik filem tak bertauliah).
Buat pertama kali mereka berjaya membuat sebuah filem purba yang tidak mencuba untuk menepati urutan dan kacamata hikayat asalnya. Sebaliknya, Tiara dan pengarahnya menterjemahkannya kembali dan melihat dari aspek kemanusiaan. Aku seronok melihat cara mereka menonjolkan pergolakan perasaan yang bermain di dalam hati watak-watak utama filem itu.
Dan buat pertama kali juga, kita melihat watak Datuk Bendahara tidak lagi menjadi seorang yesman tetapi sebagai seorang pentadbir yang berfikir. Rahim Razali memang berjaya sekali melakonkan wataknya. M Nasir juga sangat sesuai sebagai Tuah yang sentiasa di dalam kemurungan oleh kerana pertarungan di antara tugas dan cinta di dalam dirinya.
Adakah rentaknya terlalu lambat? Aku fikir tidak keran PGL bukanlah sebuah filem aksi. Jika ia terlalu pantas, aku rasa penonton tidak akan dapat menjiwai pergolakan perasaan dan kesan dramatik yang cuba disampaikan melalui mimik muka, bahasa badan dan bahasa puitis yang terkandung di dalam skripnya.
WBP aku tak berapa suka dengan adegan pasar yang terlalu simple dengan pondok-pondok seperti pasar minggu sahaja. Sebagai pusat komersial serantau kepada sebuah kerajaan berdaulat, sudah tentu para peniaganya mampu membangunkan kedai yang lebih kukuh dan teratur.
Yang keduanya: Sultan Mahmud mempunyai gigi yang tidak tersusun elok! Terdapat banyak shot yang menonjolkan kecacatan ini hingga aku berfikir adakah ini cerita Raja Bersiong atau pun PGL. Dengan kepakaran dan teknologi yang mereka miliki, sepatutnya mereka boleh menggunakan sudut lain yang lebih sesuai.
Secara keseluruhan, PGL boleh dibanggakan. Aku harap ia akan mencetuskan trend baru dalam pembikinan filem tempatan. Mungkin selepas ini kita akan dapat melihat bagaimana Tuah meng'ayat' Teja sampai cair awek Pahang tu dan apa sebenarnya terjadi dalam perjalan dari Pahang ke Melaka. Aku tak dapat percaya yang Tuah tiada perasaan langsung kepada Teja setelah mengembara merentasi hutan belantara berminggu-minggu berdua...
Bahtera Nabi Nuh a.s.?
Menakjubkan! Aku merayau blog dan terjumpa ini. Gambar-gambar arkeologi terkini berkenaan satu penemuan yang mungkin adalah sisa-sisa Bahtera Nabi Nuh di Bukit Arafat. Lihat dan apa komen anda?
Seperti kata pemilik blog itu: "The truth is out there!"
Dia Ibrahim, Kawan Kami
Kini sudah lebih setahun Ibrahim @ Raja a/l Kanapathy meninggalkan kami. Dia dijumpai mati di bilik air di Balai Polis tempat dia bekerja dengan kesan tembakan di kepala. Ketika itu dia baru seminggu bertukar ke situ. Hingga sekarang tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang mendorong dia mencabut nyawanya sendiri. Rahsia penderitaan yang ditanggungnya dibakar menjadi abu bersama mayatnya.
Raja membesar di berek kerajaan bersama-sama budak-budak Melayu. Di rumah, dia bercakap Tamil hanya dengan ibunya. Begitu juga abangnya, Chandra, yang kini bekerja sebagai guru Bahasa Melayu. Tempat kami melepak semasa itu ialah di wakaf Masjid ar-Rahman di tengah bandar Sungai Petani. Di situlah tempatnya kami berjumpa, bermesyuarat dan mengatur aktiviti harian kami ketika kami masih bersekolah dan ketika sama-sama menanam anggur selepas sekolah.
Selain daripada aktiviti nakal dan tak berfaedah seperti yang dilakukan oleh budak-budak lain yang sebaya dengan kami, kami juga melakukan kerja-kerja "khidmat masyarakat" seperti mencuci masjid, mengangkat hidang dan mencuci pinggan di rumah kenduri atau moreh di bulan puasa. Dan Raja sentiasa bersama kami dalam semua keadaan, susah dan senang. Ada juga orang tua-tua yang syak dan bertanya siapa budak yang kelihatan seperti anak India ini. Dan kami sentiasa menjawab: "Oh, dia Ibrahim, kawan kami." Tiada lagi soalan tambahan.
Nama Ibrahim itu terlekat selepas satu "majlis pengIslaman" yang dilakukan oleh Min, Syed, Shadi, Li Badang dan beberapa orang lagi kawan-kawan kami. Aku tidak mengambil bahagian kerana berada di asrama. Umur masing-masing ketika itu mungkin dalam lingkungan 14 atau 15 tahun. Mereka berkumpul di padang golf Kelab Sungai Petani pada suatu malam dan menyaksikan syahadah Raja. Min yang menjadi ketua mengumumkan, "Raja anak lelaki Kanapathy, mulai saat ini kamu adalah saudara kami dan akan dikenali sebagai Ibrahim!"
Mereka beramai-ramai pergi mimun ABC di Garden selepas "majlis" itu untuk meraikan Raja yang kini menjadi Ibrahim; tiada seorang pun ibubapa mereka yang terbabit mengetahui tentang majlis rahsia itu. Lama-kelamaan, masing-masing menjadi dewasa dan menjalani kehidupan sendiri. Raja @ Ibrahim diterima masuk ke PDRM dan pangkat terakhir yang disandangnya ialah Sarjan, kalau tak silap aku. Tidak siapa yang tahu jika Raja benar-benar menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim tetapi dia hidup bersendirian dan membujang hingga ke akhir hayatnya.
Beberapa bulan sebelum dia meninggal tahun lepas, kawan-kawan lama mendapat tahu yang dia berada di dalam kemurungan. Ada yang membuat andaian yang dia telah disihir orang kerana dia berkelakuan pelik. Min, dengan izin keluarganya, berusaha membawanya berubat di sana sini. Setelah dia kelihatan sihat sedikit, abang sulungnya merayu dengan pihak atasan supaya Raja ditukarkan dari Sungai Siput ke Alor Star.
Dia diberikan tugas ringan menjaga stor di Alor Star memandangkan keadaan kesihatannya. Suatu hari selepas dia menerima kembali senjata api yang dipulangkan oleh anak buahnya selepas tamat tugas meronda, terdengar bunyi tembakan di tandas balai. Diberitakan pistol itu masih berada ditangannya. Dengan tembakan itu, tamatlah segala pederitaan Raja a/l Kanapathy di dunia ini. Tembakan itu juga telah memutuskan tali persaudaraan yang dijalin, jika syahadahnya benar-benar ikhlas pada malam di padang golf itu.
Beberapa orang dari kami telah pergi ke majlis pembakaran mayatnya sebagai penghormatan terakhir kepada seorang kawan lama. (Aku tidak pergi kerana lewat mendapat berita tetapi menziarah ke rumah keluarganya menyampaikan takziah pada hari berikutnya.) Kehadiran mereka menghairankan hadirin yang kebanyakannya Hindu, tambahan lagi mereka juga merupakan orang yang terakhir meninggalkan tanah perkuburan itu. Dalam caranya sendiri, Raja telah memberitahu kami yang dia tidak menjadi Ibrahim sebenar-benarnya.
Selamat jalan kawanku, Raja Kanapathy.
Nasi Dalca Nur
Sungai Petani kini mempunyai sebuah Pekan Rabu seperti Alor Setar. Ia baru sahaja dibuka, tetapi aku tak perasan lansung walaupun ia hanya kurang dari kilometer dari ofis aku. Bangunan itu kelihatan sunyi sepi; nampaknya ia akan menjadi gajah putih seperti kompleks-kompleks perniagaan lain yang diuruskan oleh mana-mana Majlis Perbandaran. Entah kenapa apabila majlis yang sepatutnya menguruskan sesuatu bandar cuba menjadi pemaju hartanah komersial, ia tidak pernah benar-benar berjaya.
Dan entah kenapa, pagi semalam aku terdorong untuk mencari sarapan di situ. Terdapat 10 lot kedai makan di bahagian belakang kompleks dan 4 buah kedai yang telah dibuka. Yang lainnya masih belum dibuka mungkin kerana ia hari minggu.
Aku memilih warung yang pengusahanya kelihatan bukan seperti penjaja jika dibanding dari segi pakaian dan ketrampilan mereka. Aku memesan sekeping tosey telur dan kopi. Tosey dan kuah yang dihidangkan enak sekali dan aku pun telefon seorang dua kawan supaya datang bersarapan di sini. Sambil menikmati sarapan, aku berbual-bual kecil dengan seorang lelaki yang aku kira adalah suami dan menantu kepada kepada dua beranak di dalam kedai kerana dia kelihatan seperti seorang pegawai dan hanya duduk di situ bersarapan seperti aku.
Selepas bersarapan dia pun pergi, aku duduk menantikan kawan-kawan aku. Ada sepasang suami-isteri keturunan Cina datang meninjau-ninjau tempat baru ini; suaminya berjalan terus dan isterinya berhenti di warung ini sambil mengatakan sesuatu. Perempuan yang lebih muda itu menoleh dan menjerit nama wanita Cina. Kemudian mereka berpelukan dan berbual-bual -- mungkin mereka rakan lama atau pun jiran. Ibu perempuan itu kemudian bangun dan turut berbual dengan perempuan Cina itu dalam bahasa Tamil! Suami wanita Cina itu datang kembali dan dia juga berbual dalam bahasa Tamil sementara perempuan muda itu membalas dalam Bahasa Melayu. Aku terpegun dengan kemesraan mereka dan cara mereka berkomunikasi. Sepasang suami-isteri Cina berbual dengan dua beranak Melayu (campuran India atau Paki, dari rupa paras mereka) dalam bahasa Melayu dan Tamil! Malaysia Boleh!
Tidak lama kemudian, dua orang kawan-kawan aku pun sampai. Mereka memesan sekepin tosey juga setiap seorang. Perjumpaan sarapan kami bertukar menjadi sarapan merangkap makan tengahari kerana kami ingin mencuba menu utama warung ini -- Nasi Dalca! Memang lazat, rasanya seperti masakan di rumah di mana semuanya serba lengkap. Kawan-kawan aku juga setuju yang mereka boleh dilanggan semula di lain hari. Harga makanan kami baru sebelas ringgit lebih sahaja!
Aku berfikir, "Mesti blog berkenaan warung ini!" Dan inilah dianya. Jadi jika anda membuat perjalanan melalui Sungai Petani, jangan lupa untuk singgah ke warung "Nur's Nasi Dalca" di Kompleks Pekan Rabu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani. Ia terletak tidak jauh dari Terminal Bas Ekspress dan Balai Polis Sungai Petani. Tidak ada resepi yang lebih baik dari makanan yang lazat becampur dengan kemesraan penjualnya.
Anwar Bebas!
Seboleh-bolehnya aku elak dari hal-hal politik, tetapi Anwar Ibrahim telah bebas! Aku sangat kagum dengan cara Anwar menggunakan Bahasa Melayu. Ayat-ayat dan perkataan yang digunakan sungguh sedap didengar dan mempamerkan dia sebagai seorang yang sangat bijak menggunakan bahasa ibundanya. Selepas dia, aku rasa hanya Sharifah Aini yang mempunyai kepakaran yang sama; tidak termasuk ahli-ahli bahasa dan sastera.
Mungkin ada sesuatu agenda di sebalik pembebasannya. Aku cuba membaca ringkasan teks penghakimannya dan cuba membaca maksud yang tersirat. Secara ringkasnya kedua-dua Yang Arif mengatakan mereka yakin secara peribadi yang Anwar melakukannya, tetapi pihak pendakwa tidak membekalkan bukti yang kukuh secukupnya. Itu macam ka?
Apa pun, aku gembira yang dia dapat kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat serta dapat mendapat rawatan perubatan sewajarnya. Tindakan penuh belas kasihan ini, samada ikhlas atau pun dengan agenda tertentu, telah menaikkan nama Pak Lah, kerajaan Malaysia, badan kehakiman dan agama Islam di mata dunia.
Merdekakah Mereka?
Merdeka datang lagi. Aku bercadang untuk rehat-rehat di rumah hari ini dan mungkin cover balik tidur yang tertunggak sebelum ini. Tetapi rancangan aku diganggu oleh budak-budak bermotosikal yang berarak masuk kampung. Jadi, aku bingkas bangun dan keluar memaras pokok rambutan yang sudah terlalu rimbun.
Setelah mandi-manda, aku keluar ke Warung Kopi Pakteh Ban untuk sarapan dan melihat orang lain merayakan Merdeka. Jalan sebatang yang melalui kampung kami tidak pernah sesibuk ini. Ia dipenuhi oleh mereka yang berlawan motorsikal dan kereta siapa yang lebih bising, kebanyakannya. Semua mereka menuju ke atau kembali dari tapak pesta di Pekan Tanjung Dawai di penghujung jalan ini.
Ada yang agaknya berkhemah sejak semalam sebab terpaksa menumpang mandi di stesen minyak di pekan Merbok. Mungkin mereka tidak tahu berkenaan adanya sungai di beberapa tempat peranginan di kawasan ini di mana mereka boleh mandi sepuas hati. Atau, mungkin juga tempat-tempat ini seperti di Tupah, Candi Merbok, dan Tangga Seribu di Yan telah penuh sesak dengan orang berkelah.
Yang paling menghairankan aku ialah sepasang suami-isteri yang memandu ke Tanjung Dawai, kemudian ke Pantai Merdeka dan datang balik ke Tanjung Dawai untuk kali kedua. Mereka singgah untuk makan tengahari di warung tempat aku melepak. Entah apa yang mereka cari dan mengapa memandu sedangkan mereka boleh menaiki bot untuk berulang-alik antara dua tempat itu. Tambangnya baru dua, tiga ringgit sahaja.
Bagi aku masih berusaha memerdekakan diri dari berbagai perkara, cukuplah dengan memerhatikan mereka yang merayakan Hari Kemerdekaan dengan seluruh jiwa dan raga ini. Bukannya aku tidak bersyukur atau bangga dengan apa yang dicapai oleh negara tercinta ini, tetapi pada peringkat peribadi aku masih berjuang dalam banyak hal. Mungkin tahun hadapan, jika umur panjang.
Merdeka juga bermakna bebas memilih bagaimana cara kita merayakannya. Dan aku memilih untuk berehat sahaja. Merdeka!