kata mereka ...

Bas Buruk

Kesian anak aku, Dana. Mulanya dia tak dapat balik ke sekolahnya di Pasir Puteh, Kelantan pada hari Sabtu sebab tiket bas habis. Jadi aku belikan tiket untuk perjalanan hari ini dari kaunter Transnasional.


Semasa basnya sampai, aku dah tak sedap hati. Punyalah buruk basnya hinggakan petugas di kaunternya pun terkejut. "Kenapa dia orang kasi bas buruk ini? Habis stok-stok lama pun dikeluarkan!" katanya.


Lebih kurang setengah jam bas itu berlepas, aku terima SMS: "Buruknya bas ini, macam-macam bunyi ada! Tak boleh sandar sebab dia terus turun ke belakang." Aku dapat bayangkan bagaimana kekok situasinya jika terpaksa tidur dengan penyandar itu di atas ribaan penumpang di belakang.


Aku kerisauan. "Moga-moga selamat sampai ke Kota Bharu," aku berdoa diam-diam di dalam hati. Beberapa jam kemudian datang lagi SMS dari anak aku: "Hu hu hu bas rosak! Kami kena tumpang bas lain, berdiri dari puncak tertinggi tadi, sekarang dah nak sampai Jeli. Teruknya!"


Bayangkanlah! Jalan bengkang bengkok menuruni bukit dan awak terpaksa berdiri. Transnasional akan menerima sepucuk surat dari seorang bapa yang sangat risau nanti.


Akhirnya, datang lagi SMSnya: "Dah sampai KB. Letihnya Abah! Hujan lebat dan hari pun dah nak gelap." Pukul 7:17 malam dan dia masih perlu membuat perjalanan dari KB ke Pasir Puteh. Aku membalas: "Sabarlah. Lain kali Abah tak beli lagi tiket Transnasional." Tobat, kata orang sini.


Dana berjaya dapatkan teksi dan selamat sampai ke asrama sekolahnya. Baru lega rasa di hati. Yang pasti, Transnasional telah hilang seorang pelanggan.

2 Comments

Cerita si Cheong, Tabib Cina

Baru-baru ini aku berbual dengan jiran baru aku di bangunan tempat aku bekerja. Dia seorang sinseh yang sebelum ini beroperasi di rumahnya di Butterworth. Sekarang dia berkongsi pejabat dengan Harun dan Haji Ismail. Mereka berdua sebenarnya adalah pelanggan si Cheong ini dan pernah mendapat manfaat dari rawatan tradisional Cina yang diberikan oleh Cheong.


Tabib Cheong ini adalah seorang yang lurus dan dia bercakap tanpa selindung dan berlapik. Ramai pelanggannya yang tersipu-sipu malu apabila dia menceritakan apa yang mereka lakukan sebelum ini hingga menerima padah penyakit yang dialami sekarang. Dia boleh menceritakan sejarah tidak sihat seseorang dengan memegang nadi seseorang di tangan atau di kaki.


Kali ini dia mempunyai cerita yang berlainan; ia berkenaan kemalangan di mana dua motosikal bertembung di tempat tinggalnya di Butterworth minggu lepas. Kemalangan itu melibatkan seorang anak gadis Melayu dalam perjalanan pulang ke Alor Star dan seorang lelaki tua tempatan berketurunan Cina yang melintas di hadapan gadis tadi. Mereka berdua mendapat kecederaan ringan tetapi lelaki tua itu lebih teruk lukanya kerana dia yang menerima impak pertembungan itu dalam keadaan lalai.


Mereka bertengkar dan orang tua itu meminta duit gantirugi kerosakan motosikalnya dan kecederaannya. Semakin lama semakin ramai orang berkerumun di keliling mereka dan ini memberanikan lagi orang tua itu kerana semuanya boleh dikatakan orang Cina. Akhirnya si Cheong, yang selama ini memerhati sahaja dari dalam kedai kopi, masuk campur. Dia bertanya gadis Melayu itu berkenaan kecederaannya, apa urusannya datang ke situ dan ke mana tujuan perjalanannya. Gadis itu menjawab yang dia luka sedikit sahaja, dia ke Butterworth untuk belajar di sebuah kolej di situ dan dia dalam perjalanan pulang ke Alor Star. Si Cheong bertanya lagi jika dia memerlukan rawatan di klinik. Jawapnya tidak perlu.


Dengan tenang dia menyuruh gadis itu pulang sahaja dan biarkan dia sahaja menguruskan orang tua itu. Gadis Melayu itu teragak-agak dan memberitahu yang dia tidak dapat membayar tuntutan orang tua yang dilanggarnya. Jawab si Cheong, "Wa tau. Lu baca lagi, mana ada wang banyak. Sekarang lu balik dulu, jalan baik-baik. Ini orang tua, wa punya hal!"


Tergamam dengan kebaikan yang tidak disangka ini, gadis itu pun mengucapkan terima kasih dan pulang ke rumahnya. Berpaling kepada orang tua tadi, Cheong bersyarah bagaimana seorang tua sepertinya tidak sepatutnya menunggang motosikal di waktu malam begini. Lebih teruk lagi, dia tidak malu langsung meminta wang dari seorang budak yang masih belajar. Dia menawarkan untuk membawanya ke klinik, membayar kos perubatannya dan membayar kos membaiki kerosakan motosikalnya. Orang tua itu menolak tawarannya dan pergi dari situ.


Aku terharu dengan cerita kebaikan yang tidak mengenal batasan bangsa dan agama ini. Masih ada harapan bagi Malaysia, negara tercinta ini.


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN.

1 Comments

Surah Yaa-Sin dan Judi

Sebuah tabloid melaporkan baru-baru ini berkenaan keputusan nombor ekor yang difotostat bersama ayat-ayat dari Surah Yaa-Sin. Ia menunjukkan gambar dua orang AJK surau memegang kertas berkenaan yang dirampas dari seorang penjual mah-piao atau keputusan permainan judi itu. Sudah tentu laporannya mengatakan ia sebagai satu percubaan "menghina Islam" seperti artikel dari Majlis Peguam Malaysia yang kecoh baru-baru ini.


Aku bukannya tidak sensitif tetapi aku kesal terhadap sikap masyarakat yang gemar berselindung di sebalik perisai kebal "menghina Islam" setiap kali perkara begini berlaku seolah-olah kita sudah tidak ada cara lain untuk menghadapi asakan begini. Peluru "menghina Islam" sepatutnya menjadi senjata akhir apabila pukulan lain tidak mendatangkan kesan.


Dalam hal nombor ekor ini contohnya: Orang Islam sendiri yang silap kerana khianat kepada agamanya sendiri dan kepada harta intelek orang lain. Aku pernah mengusahakan kedai khidmat fotostat dan aku tahu senarionya. Orang kita lebih suka menyalin risalah-risalah agama daripada membeli naskhah yang original sedangkan penjimatan kosnya tidak seberapa. Berapakah harga risalah Surah Yaa-Sin yang siap dicetak? Mengapa perlu difotostat sedangkan ada badan-badan dan individu-individu yang sanggup menderma secara percuma?


Orang kita gemar melanggani kedai fotostat bukan-Islam kerana mereka mengenakan harga RM0.01 lebih murah setiap mukasurat. Mereka boleh melakukannya kerana mereka membeli kertas berdasarkan kontena atau membekalkan sendiri mesin fotostat yang direcondition itu. Apa salahnya membayar lebih kepada sesama Islam yang kita tahu akan menghormati helaian doa yang difotostat itu? Ketika membuat salinan, akan terdapat salinan yang rosak dan akan dikitar semula untuk salinan dokumen kecil seperti kad pengenalan atau, dalam kes ini, keputusan nombor ekor!


Pelanggan Islam yang melanggani kedai fotostat bukan-Islam tidak pernah bertanya jika ada salinan yang rosak untuk dimusnahkan sendiri dengan hormat. Untuk mengharapkan mereka menghormati ayat-ayat suci kita samalah seperti mereka mengharap kita menyanjungi gambar Buddha atau Siva mereka. Bagaimana mereka boleh tahu nilai ayat-ayat itu kepada kita jika kita sendiri tidak peduli? Bahkan jika mereka tahu nilai kesucian ayat-ayat yang mereka fotostat itu, sudah tentu mereka telah lama menjadi saudara kita!


Lain kali apabila kita fotostat sesuatu doa atau risalah agama, beringatlah. Anda sendiri mungkin menyumbang kepada "penghinaan Islam" secara tidak sedar. 

0 Comments

Berkomunikasi dengan Tuhan?

Ramai rakan-rakan blogger yang meletakkan di blog mereka berbagai petikan berkenaan solat sebagai peringatan dan pengajaran. Paparan-paparan itu menghuraikan solat dari aspek fadhilat, maksud, rahsia dan sebagainya. Terima kasih kalian untuk semua itu.


Tetapi huraian seorang kenalan yang kami panggil sebagai "Old Boy" ketika kami berborak-borak di suatu masa dahulu sangat meninggalkan kesan di hati aku. Penjelasan kolonel bersara itu membuat aku faham akan tujuan solat dan apa yang kerap dikatakan sebagai berkomunikasi secara terus dengan Pencipta kita. Komunikasi yang macam mana?


Ikutilah penerangan Old Boy tentang apa yang berlaku di dalam sessi solat biasa seorang Muslim:

1. Dia melafaz dan berniat untuk melakukan satu ibadat demi Tuhannya. Ia adalah sesuatu yang dilakukan secara sukarela sebagai satu amalan ketaatan.

2. Dia memulakan amalan dengan puji-pujian dan kesyukuran kepada Tuhannya, "Allahu Akbar Kabira..." mengesahkan yang dia memalingkan wajahnya hanya kepada Tuhannya, "Wajhahtu wajhia.." serta meperakui bahawa dirinya seorang Muslim yang baik, "Hanifan Musliman..." dan bukannya dia seorang yang musyrik.

3. Cukupkah puji-pujian dan pengakuan itu? Sudah tentu tidak, bagaimana seorang makhluk dapat mencipta ayat yang boleh memuji Tuhannya dengan selengkapnya. Hanya kata-kataNya sendiri yang terkandung di dalam KitabNya sahaja yang layak digunakan untuk memujiNya! Jadi dia menggunakan ibu atau intipati Kitab itu -- Surah al-Fatihah. Antaranya dia mengucapkan syukur kepada Tuhan sekelian alam, yang Pengasih dan Penyayang, Pemilik Hari Akhir serta dia mengaku taat setia bahawa hanya kepadaNya dia mengabdikan diri dan yang disembah. Dia memohon supaya ditunjukkan jalan yang benar yang pernah dilalui oleh mereka yang terpilih bukan jalan kemusnahan yang dilalui mereka yang celaka. Amin.

4. Dia berhenti seketika dan membaca sepotong ayat lazim atau sebahagian dari ayat-ayat lain yang terlintas di hati. Ini bahagian yang paling indah -- perhatikan: yang dibaca itu ialah ayat-ayat Tuhan, firmanNya! Maknanya Tuhan berkata-kata, membalas pujian hambaNya! Apa yang terlintas di hati itu adalah Tuhan memberitahu kita sesuatu tetapi masalahnya adakah kita merujuk kepada tafsiran ayat tersebut untuk melihat apa hubung kaitnya dengan diri kita? Perhatikan juga jika dia seorang yang tidak mengambil berat untuk menghafal sebanyak mungkin ayat-ayat Quran atau seorang yang sembahyang secara ringkas, maka dia sendiri yang rugi kerana tidak membuka saluran komunikasi seluas mungkin. Atau kemungkinannya dia selalu diberi peringatan, "Katakanlah, bahawa Tuhan itu Satu..." berkali-kali!

5. Apabila mengetahui yang Tuhan sendiri berkata-kata dengannya, dia tunduk merendahkan diri dalam roko' sambil memuji, "Subhana Rabbi al-'Azi..." berulang kali.

6. Ketika dia bangun semula Tuhan membalas yang Dia mendengar hamba yang memujiNya, "Sami Allahu..."

7. Tidak ada yang dapat menandingi kegembiraannya, lalu dia merendahkan lagi dirinya ke lantai sambil memuji Tuhannya, "Subhana Rabbi al-'Aqla.." berkali-kali.

8. Dia duduk dan mengambil kesempatan kehampiran ini untuk memohon, "Ampunilah aku..." dan sujud memuji Tuhannya semula.

9. (Bergantung kepada waktu dan tujuan solatnya, dia bangun mengulangi putaran amalan ini seperti yang dibenarkan dan akhirnya duduk membaharui kesaksiannya terahdap keesaan Tuhan dan kerasulan Muhammad serta berselawat untuk Muhammad dan Ibrahim serta keluarga mereka.)

10. Gembira dengan interaksi dan kehampiran yang baru dilaluinya, dia mengucapkan selamat dan mengharapkan rahmat Tuhan kepada sesiapa yang ada di sekelilingnya, kanan dan kiri.


Pernahkah anda mendengar penjelasan sebegini? Dan pernahkah anda menyemak kembali makna ayat yang dibaca di dalam solat dan bertindak balas kepada apa yang difirmankan?

4 Comments

Biar Lambat Asal Selamat

Belum habis menggelengkan kepala mengenangkan kemalangan bas ekspres di Perak hari tu, sebuah bas ekspres lagi langgar treler di Melaka. Risau mendengarnya sebab kebanyakan kita dan ahli keluarga kita kerap menggunakan khidmat bas seperti ini.


Aku rasa setiap pemandu bas ekspres patut memeriksa sikap mereka. Perhatikan bagaimana kebanyakan kita memandu dengan lebih perlahan dan berhati-hati apabila membawa anak isteri atau ahli keluarga lain berbanding dengan apabila kita memandu sendirian. Kita tidak "reckless" kerana penumpang ada hubungan atau pertalian dengan diri kita, dan kita tidak mahu mengambil risiko yang boleh membawa padah buruk kepada mereka.


Begitu juga, jika setiap pemandu bas ekspres dapat melihat pertalian antara dirinya dengan pemilik syarikat yang menanggung perbelanjaan dan hutang yang besar untuk meletakkan bas berkenaan di atas jalanraya, serta hubungannya dengan para penumpang yang membayar tambang perjalanan yang menjadi sumber utama saraan gaji mereka, aku rasa tentu mereka akan lebih berhati-hati dan saling menghormati.


Bolehkah jawatan yang disandang wujud jika tidak ada penumpang dan tidak ada syarikat yang menawarkan khidmat perjalanan? Teringat aku kepada kes pemandu yang mencaci dan mengugut penumpang wanita yang turun bersolat di perhentian rehat & rawat. Pemandu kurang ajar itu mengugut untuk menelanjangkan perempuan malang itu kerana menyebabkan mereka terpaksa berpatah balik kerana mereka tersedar yang mereka telah tertinggal penumpang itu.


Sudahlah dia tidak mengaku kelalaiannya, dia bersikap kurang ajar terhadap penumpang yang menyumbang kepada duit gajinya dan lebih teruk lagi, dia menghina agama pegangannya sendiri dengan memarahi orang yang cuba mematuhi ajaran agamanya.


0 Comments

Kata Mereka v2.0

Aku merayau mengikuti pautan di laman blog Embun dan pergi ke portal MyMasjid. Di sana aku ternampak iklan myJodoh dan aku pun klik untuk melihat apa yang ada di sana. Terdapat satu pautan yang tertera Kata Mereka! Aku hairan: Siapa yang letak link aku kat sini?


Aku pun klik, rupa-rupanya ia hanya satu lembaran dari laman itu yang memaparkan komen dari pengguna/ahli myJodoh. Aku yang perasan.

0 Comments

Puteri Gunung Ledang :: Bahagian Terakhir

Aku sendiri tidak tahu bagaimana hendak menceritakan kejadian itu. Bahkan Nal yang kami anggap serba tahu pun tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan. Tidak seorang daripada kami pernah menyaksikan keanehan sebegitu rupa dan aku rasa orang lain pun tidak. Bintang-bintang itu entah berapa tahun-cahaya dari bumi -- kalau malam itu malam berbintang sudah tentu kami dapat melihatnya sedikit demi sedikit dari awal lagi. Tetapi malam itu seolah-olah seseorang memetik suis lampu Raya dan seperti orang menembak bunga api ke langit! Cuma bezanya, ia tidak padam seperti bunga api tetapi terus menyala sehingga seluruh langit yang boleh dilihat dari tempat kami berbaring itu dipenuhi bintang-bintang.


Kami membuat berbagai andaian daripada yang kebudak-budakan hingga kepada yang saintifik tetapi akhirnya bersetuju yang 'mereka di atas' sedang merayakan sesuatu. Dick pula sangat bersyukur yang keinginannya mendapat 'perhatian' Tuhan dan Dia telah memberikan lebih dari apa yang dihajatinya. Ia merupakan satu 'pengalaman spiritual' sangat meninggalkan kesan. Malam itu kami tidur di atas batu hampar itu tanpa sedikit pun rasa takut kerana masing-masing merasakan seperti insan terpilih dari jutaan manusia.


Keesokan harinya, kami bersarapan untuk menghabiskan bekalan makanan yang dibawa. Giliran aku untuk membuat kopi pagi itu. Aku tidak memasak air dan membancuhnya di dalam bekas, tetapi menjerangkan semua bahan-bahannya di dalam bekas. Aku terjumpa entah siapa punya coklat Toblerone yang sudah tinggal separuh dan aku masukkan ke dalam bekas kopi yang sedang mendidih dan hasilnya -- seperiuk kecil kopi 'o' berperisa coklat yang terbaik di dunia!


Habis packing, kami pun beransur turun dari tempat itu. Kami bertolak awal supaya sempat untuk menyaksikan matahari terbenam di Port Dickson. Tidak jauh dari tempat kami berkhemah, kami berjumpa dengan sekumpulan budak-budak Cina yang juga bermalam di situ. Kami bertanya samada mereka melihat apa-apa keanehan malam tadi dan mereka menjawab tidak. Semua mereka tidur nyenyak keletihan. Ketika kami hampir sampai ke kaki bukit, Zafar bergurau menyuruh Dick meminta apa-apa lagi yang dia mahu sementara kami masih di situ. Dick pula mengatakan, "Kalau dapat makan pulut kuning berlauk daging, tentu best!" Semua orang ketawa dengar permintaan itu.


Kami sempat ke PD dan menyaksikan matahari turun di kaki langit. Setelah menikmati pemandangan itu sungguh indah itu kami masuk ke kereta untuk mencari masjid kerana masih terdapat sedikit lagi sisa-sisa waktu Maghrib. Kami jumpa sebuah masjid di tepi jalan dan masuk untuk solat di luar dewan sembahyang utama kerana tidak mahu mengganggu perasaan orang tempatan dengan pakaian kami yang comot. Ada dua tiga orang yang sedang berbual sambil menunggu waktu Isya' agaknya. Selesai solat, aku melihat-lihat di papan kenyataan masjid itu sementara menunggu kawan-kawan lain dan aku terpandang kalendar yang tergantung di situ. Aku memanggil kawan-kawan aku dan menunjukkan kepada mereka tarikh hari itu. Aku sudah tidak ingat tarikh Masehinya tetapi tarikh Hijrahnya menunjukkan hari esok adalah 1hb Muharram!


Masya-Allah! Esok tahun baru Hijriah rupanya! Kami memandang sesama sendiri mengenangkan apa yang kami saksikan semalam dan apa yang kami andaikan berkenaan kejadian itu. Memang benar 'mereka' merayakan sesuatu. Kami fikir cukuplah segala keajaiban yang berlaku sejak semalam dan kami memang tidak bersedia untuk menerima apa yang akan berlaku berikutnya!


Sebaik sahaja kami hendak keluar masjid, tiba-tiba datang seorang kakak membawa satu bekas Tupperware. Katanya dia memang berniat nak buat kenduri tetapi terlewat apabila kami katakan yang orang-orang masjid sudah pulang belaka. Kakak itu menyuruh kami sahaja yang makan kerana makanan yang disediakan pun sedikit sahaja dan dia akan datang mengambil semula bekasnya esok hari. Apa lagi, kami pun mengucapkan terima kasih dan duduk semula memandangkan kami belum makan apa-apa sejak pagi tadi. Mulut Dick terlopong bila penutup bekas Tupperware itu dibuka -- pulut kuning dan lauk daging!

4 Comments

Puteri Gunung Ledang, Part II

Selepas sarapan, kami memulakan pendakian kami. Kami ingatkan kami awal tetapi terdapat beberapa kumpulan dan keluarga yang telah sampai untuk berkelah di tepi sungai. Pendakian itu semakin lama semakin perlahan kerana kebanyakan kami perokok dan stamina kami pancit. Tetapi Din yang paling kurus di antara kami macam berjalan-jalan makan angin sahaja. Kesian juga dia; dah ler kurus, haversacknya paling besar dan kena tolong bawa macam-macam barang lagi.


Selepas dua cigarette breaks -- berhenti rehat untuk hisap rokok! -- nasi lemak sambal bilis yang dimakan semasa sarapan tadi mula memberontak di dalam perut aku. Jadi aku terpaksa bersembunyi dari kawan-kawan aku sekejap untuk duduk termenung dan merenung kejadian alam ini sendirian. Setelah masalah aku diselesaikan dengan jayanya, kami mendaki semula. Perjalanan menjadi semakin sukar dan Din dilepaskan di hadapan sekali untuk membuka jalan dengan sebilah parang. "Rehat dan rokok" pun semakin kerap.


Dipendekkan cerita, kami sampai di satu tempat yang nampaknya sesuai untuk berkhemah. Di situ terdapat air terjun dan hamparan batu yang agak luas. Ia masih bukan di puncak tetapi semua orang bersetuju untuk berhenti sahaja di situ. Ia adalah puncak pertama kerana langit boleh dilihat dari situ. Tempatnya unik kerana ada formasi batu yang nampak seperti kerusi dan kolam di tepi hamparan batu tadi. Salah seorang daripada kami mengatakan munkin ini adalah tahta tempat bersemayam atau bersiram Tuan Puteri!


Sedang orang lain membersihkan diri, memasak air atau solat, perut aku meragam lagi. Jadi sekali lagi aku menghilangkan diri di celah-celah batu besar di situ. Kemudian semasa kami berehat selepas makan-makan sambil menghirup kopi panas, aku perasan yang terdapat batu-batu yang tersusun dari tempat aku bersembunyi tadi sampai ke puncak bukit di seberang anak sungai. Nal berkata mungkin ia tangga istana Tuan Puteri! Dick mula excited dengan penemuan-penemuan ini dan merasakan semua ini sungguh menyeronokkan.


Perut aku sudah pulih sepenuhnya tetapi kerana terlalu banyak minum kopi, aku terpaksa menyahut panggilan alam untuk menunaikan 'hajat kecil' pula. Aku pergi semula ke celah batu tadi dan terkejut kerana tidak ada lagi 'bekas-bekas' yang aku tinggalkan tadi. Tempat itu bersih seperti sediakala! Tidak mungkin air sungai telah membawanya pergi kerana aku telah pastikan ia jauh dari air memandangkan ramai orang berkelah di bawah.


Semua orang melopong apabila aku ceritakan kepada mereka apa yang aku nampak. Zafar berkata mungkin ia telah dicuci oleh 'penjaga' tempat itu kerana aku melepas di kaki tangga istana. Nal pula berkata yang dia nampak seolah-olah ramai orang yang berjemaah di belakang aku semasa aku solat di bawah pokok di seberang anak sungai tadi. Lagi ler...


Kami mula rasa gusar sedikit. Nak berjalan turun pun, hari dah mula nak gelap. Jadi kami memutuskan untuk memberanikan diri untuk terus bermalam. Kami makan awal supaya tidak perlu teraba-raba apabila gelap nanti. Kami berborak kosong sambil duduk di keliling unggun api. Kadang-kadang kami rasa seperti ada orang memerhatikan kami di dalam gelap itu. Kadang-kadang kami rasa seperti ada orang berdiri di tepi air terjun, sekejap di kiri sekejap di kanan.


Akhirnya, Nal mencadangkan agar kami berzikir dan berselawat. Malam itu kami belajar serangkap selawat yang boleh dilagukan dan kami berselawat sambil baring di atas batu memandang langit yang hitam pekat. Setelah beberapa lama, Dick menjerit, "Tengok sana!" Semua orang terpegun dengan apa yang sedang berlaku ketika itu. Langit yang gelap itu tiba-tiba dipenuhi bintang-bintang! Ia seperti pertunjukan bunga api kerana kami dapat melihat ia pecah seperti bunga api dan memenuhi langit yang gelap tadi. "Oh my God! This is fantastic!" kata Dick. Hajatnya telah dipenuhi!

5 Comments

Tajuk Blog

Oleh kerana langganan tBLOG Pro percuma aku dah expired, maka laman blog ini bertukar dengan sendirinya macam magic ke susunletak asal. Tiada lagi gambar teratak di tepi pantai tu. (Patut le Akak cuba buat rumah di tepi pantai hari tu tak jadi-jadi; aku sangkakan pulau tu datang sekali dengan pakej asasnya!) Jadi nasib baik ada tBucks sikit, boleh le beli awan mendung yang tak hujan-hujan tu.


Tapi pakej asas ini juga tidak paparkan tajuk blog, sebagai gantinya semua orang dapat tajuk "weblog" yang piawai. Anda boleh namakan apa sahaja blog anda tetapi anda akan hanya mendapat "weblog". Standard gitu.


Teroka punya teroka, aku dapat letakkan tajuk asal kat lajur kanan tu, heh heh. Amacam, OK tak? Kira boley arr...

2 Comments

Puteri Gunung Ledang, Part I

Filem Tiara Jacquelina terbaru, Puteri Gunung Ledang, sangat menarik perhatian aku. Bukan kerana kecantikan Tiara (walaupun dia memang menawan) atau kerana perhatian tajamnya terhadap detail untuk menghidupkan epik sejarah bercampur mitos itu. Tetapi kerana ia mengingatkan aku kepada pengalaman aku sendiri mendaki dan bermalam di Gunung Ledang itu.


Semasa aku dan kawan-kawan lepak di rumah Haji di PJ, Dick (orang yang sama dalam posting aku sebelum ini) menyatakan keinginannya untuk merasai sesuatu pengalaman yang mistik. Dick baru pulang dari menyaksikan kelip-kelip di muara Sungai Selangor yang padanya adalah satu pengalaman kerohanian yang memukau dan terangsang untuk mengalami sesuatu yang lebih mendalam. Jadi kami duduk berbincang untuk mencari sesuatu aktiviti yang tidak terlalu drastik seperti meneroka rumah berhantu atau berjaga di tanah perkuburan untuk dilakukan minggu hadapan!


Isteri Haji (bukan Haji sebenar, hanya gelaran kawan-kawan), seorang model sambilan, memang pandai membancuh kopi dan perbincangan kami melalut dari melawat Pulau Besar kepada menziarah semua masjid-masjid lama di Melaka dan berbagai cadangan yang bukan-bukan lagi. Akhirnya perbincangan kami tertumpu kepada mendaki Gunung Ledang kerana cerita-cerita dari Nal yang pernah ke sana. Kami menganggap Nal paling 'berilmu' di antara kami kerana dia mempelajari hampir semua jenis seni mempertahankan diri, dia seorang pakar batu cincin dan banyak ilmu agama. Jadi semua bersetuju untuk ke Gunung Ledang -- ia mempunyai banyak ciri riadah -- senaman, adventure, dan misteri (jika PGL benar-benar wujud!).


Pada hari yang dijanjikan, kami semua -- Dick, Din, Nal, Zafar dan aku -- semua berkumpul tidur di rumah Haji supaya dapat keluar awal serentak keesokkan paginya. Haji tidak dapat pergi pada saat-saat akhir seperti kebiasaannya. Mungkin dia risau meninggalkan isterinya (yang juga adik ipar Nal) yang jelita itu keseorangan. Setelah tidur sekejap, kami berlima pun memulakan perjalanan dengan kereta Dick untuk sampai di kaki bukit Gunung Ledang itu sebelum Subuh. Kami sampai di Kampung tepat pada waktu subuh dan terus singgah di masjid kampung itu untuk sama-sama berjemaah dengan orang-orang kampung. Di situ kami mengalami misteri pertama kami.


Kami hairan kerana masjid itu kelihatan usang, tetapi air kolahnya bersih. Nal mengambil wudhu dan melakukan solat tahiyyat masjid di ruang depan masjid. Kami menunggu sampai hari hampir cerah tetapi tiada siapa yang datang sedangkan azan di radio sudah lama kedengaran dari rumah di sebelah masjid itu. Akhirnya datang seorang hamba Allah terus menuju ke kolah. Siaknya sudah sampai, kata kami serentak. Selepas mengambil wudhu, orang tadi terus sembahyang sendirian! Mungkin dia solat sunat dulu sebelum berazan, fikir kami, tetapi dia terus keluar selepas sembahyang.


Oleh kerana hari semakin siang, kami pun bergegas sembahyang Subuh di belakang Nal. Selepas solat kami duduk-duduk berbincang tentang masjid dan kampung itu. Kata salah seorang dari kami, mungkin orang tadi satu-satunya Muslim di kampung ini! Nal berjaya membuka pintu ke balai utama masjid itu dan terkejut melihat setiap inci ruangnya terdapat tahi cicak! Kebimbangan kami menjadi kenyataan -- ini ialah masjid yang telah ditinggalkan! Aku terpandang ke papan kenyataan masjid. Ada pengumuman kematian anak kariah yang ditulis dengan kapur dan tarikhnya ialah pada lima tahun yang lalu!


Kami telah banyak menghabiskan masa di situ. Jadi kami pun masuk ke kereta semula untuk ke melaporkan diri di Balai Polis dan mencari tempat bersarapan di pekan berdekatan dalam negeri Johor di seberang sempadan. Kami makan nasi lemak di sebuah warung dan menceritakan kepada peniaga itu berkenaan masjid di kampung berkenaan. Dia memberitahu kami yang masjid itu ditinggalkan kerana sudah ada masjid baru tidak jauh dari situ. Kami termanggu-manggu kehairanan -- takkan sembahyang waktu pun tak boleh buat di situ?


Tamat Part I -- kasi saspens sikit.

2 Comments

Menari di hadapan Tuhan

Aku jarang sembang fasal agama sebab aku tahu di tahap mana aku berada dan aku takut kalau-kalau pendapat atau pemahaman aku bertentangan dengan pegangan arus perdana. Tetapi aku suka mendegar dan membaca buah fikiran dan hujah-hujah orang lain demi perbandingan ke arah merumuskan pendirian sendiri. Oleh kerana kerap menjenguk blog orang lain yang rata-ratanya mengandungi perisa kerohanian yang tebal, maka aku terpengaruh juga dengan kandungan keagamaan di dalam blog-blog mereka dan aku ingin berkongsi cerita tentang perkenalan aku dengan solat.


Semasa aku bekerja di KL dahulu, seorang kawan yang benama Mussadiq "Dick" Meah menjadi buntu setelah diasak dengan soalan-soalan yang tak pernah kami fikirkan sebelum ini daripada seorang perempuan Kanada keturunan Cina yang sedang berjinak-jinak dengan Islam. Lahir dan dibesarkan di Kanada, perempuan ini memepunyai 100% fikiran dan sikap Barat walaupun rupa parasnya 100% Timur. Kami yang bukan ustaz ini terpaksa mengembeling tenaga untuk menjawap segala persoalannya dengan sebaik mungkin tetapi satu soalannya mengepong kami di penjuru: "Kenapa kita perlu sembahyang seperti yang kamu sembahyang? Kenapa kita tidak boleh bertafakur di tepi katil dan bercakap denganNya terus?"


Memanglah dia merujuk kepada keringkasan amalan Kristian yang dipelajari di Barat dan tidak dapat membezakan antara berdoa memohon sesuatu dengan menunaikan kewajipan bersolat kerana to pray dalam Bahasa Inggeris bermaksud kedua-duanya. Kami juga ketika itu tidak nampak berbezaan itu dan tidak mempunyai jawapan yang boleh memuaskan hati dan inteleknya. Jadi kami memutuskan untuk membawanya menemui guru agama aku yang kebetulan datang melawat ke KL.


Setelah memberikannya sehelai selendang untuk menutup kepala dan bahagian atas tubuhnya yang hanya berblaus leher luas tanpa lengan, dia dibawa mengadap Tok Guru untuk bertanyakan sendiri kemusykilannya. Rupanya pertemuan itu menjadi sesi pembelajaran bagi bukan sahaja untuknya tetapi juga bagi kami, para-para eksekutif sekular ini!


Jawapan guru aku mudah sahaja: Pergerakan dalam solat itu adalah umpama tarian kebaktian, a dance of devotion, dan himpunan protokol pemujaan yang dilakukan oleh manusia ketika berdepan dengan Penciptanya sebagai tanda ketaatan demi mendapatkan keredhaanNya. Manusia boleh berinteraksi denganNya dalam berbagai cara, tetapi inilah cara yang dikehendaki dan disukaiNya. Nokhtah.


Perempuan Kanada ini mengangguk kepalanya tanda setuju dan kami menggelengkan kepala sambil melihat sesama sendiri mengenangkan betapa senangnya jawapan kepada soalan payah itu! Tuan Guru menghuraikan lagi: Jika di dunia pun kita perlu menurut protokol tertentu untuk berjumpa dengan pembesar-pembesar atau raja-raja. Di zaman dahulu, apabila maharaja-maharaja turun bersidang, mereka akan dihiburkan dahulu dengan tarian dan nyanyian sebelum sebarang masalah negara dihadapkan kepada untuk pertimbangan dan keputusan mereka, seperti samada negara jiran perlu diserang atau tidak dan sebagainya.


Apatah lagi apabila kita menghadapkan diri yang kerdil kepada Maharaja segala maharaja, sudah tentu ada peraturan yang perlu diikuti. Pergerakan dari mengangkat takbir hingga ke duduk tahiyyat itu adalah tariannya. Ucapan takbir, segala bacaan doa dan ayat-ayat suci di dalam solat itu adalah nyanyiannya. Pakaian dan waktu yang sesuai adalah protokolnya. Segala aduan hanya layak dipersembahkan selepas segala langkah ini dibuat dengan ikhlas dan rendah diri.


Penjelasan itu mengubah sikap dan pandangan aku terhadap apa yang sebut sebagai solat. Dari hari itu aku tidak lagi bersembahyang dengan t-shirt usang, tanpa penutup kepala dan bermacam lagi keselekehan yang lahir dari pegangan kepada ungkapan "Tuhan tidak melihat apa yang kamu pakai...!" Memang pakaian kita tidak ada nilai di sisiNya tetapi ia tidak memberikan kebenaran kepada kita untuk bersikap seperti orang tidak bertamaddun. Adakah kamu akan berjumpa seorang menteri dengan hanya berselipar jepun? Atau menghadiri temuduga dengan berseluar pendek?


Aku juga tidak lagi bergegas keluar masjid sebaik memberi salam selepas sembahyang Jumaat. Betapa ruginya mereka yang berbuat demikian hanya kerana mahu mengelak dari kesesakan jalanraya atau berebut tempat duduk di warung. Aku mahu mengukuhkan cable aku dan mengadukan hal aku semasa orang lain telah meninggalkan majlis hebat ini. Aku mahu menyampaikan resume dan profil aku kepada para malaikat yang turut hadir.

2 Comments

Cuti Cuti Periksa

Banyak perkara yg nak ditulis, tetapi terpaksa ambil cuti sekejap. Aku ada satu lagi paper yang nak kena ulang hari Sabtu ini, jadi kenalah selak-selak sikit buku Object Oriented Programming tu. Hari tu main-main dan keputusannya aku kantoi, padan muka aku. Wish me luck!

2 Comments